Hidup yang hanya memikirkan kecantikan diri, adalah falsafah hidup burung merak. Cantiknya lebih, manfaatnya tidak setara. Daging tidak dimakan, burung lain enggan berkawan. Terbang tak setinggi mana, lagaknya mendabik dada. Merak hanya ada kecantikan yang dimodal untuk dibanggakan? jika harga diri merak adalah pada cantiknya semata, apakah harga diri seorang insan juga bergantung kepada paras rupanya? Insan lebih mulia dari itu?
"Saya tidak pernah berasa tertekan atau ditindas kerana berpakaian begini. Malah ia telah memulangkan kembali harga diri saya yang hilang selama ini. Jika dulu saya mungkin ditawarkan kerja atau apa-apa faedah kerana rupa paras dan kecantikan yang saya cuba peragakan. Tetapi hari ini, saya mendapat apa yang saya dapat, kerana saya dinilai sebagai saya. Orang menilai saya atas kualiti, kemahiran dan prinsip kehidupan yang ada pada diri saya. Dan itulah diri saya yang sebenar"
Saya terpaku mendengar ucapan Sister Rabiah di hadapan lebih 400 orang warga universiti The Queen?s, Belfast. Beliau menyampaikan ceramah bertajuk "Moslem Women Are Free From Modern Slavery". Ia merupakan salah satu slot yang mengisi program Islamic Awareness Week yang dianjurkan oleh Islam Students Society of Northern Ireland (ISSNI) dengan kerjasama Belfast Islamic Centre, tempat saya bertugas sebagai Imam.
Sister Rabiah adalah wanita Irish yang memeluk Islam lebih 20 tahun yang lalu. Zaman itu adalah era Ireland yang terlalu asing dari Islam. Tidak seperti hari ini, yang jumlah orang Islam di Ireland Utara sahaja sudah mencecah 10 ribu orang. Selepas Sister Rabiah memeluk Islam, beliau gigih mempelajari Islam, mempelajari Bahasa Arab, dan akhirnya beliau sampai ke tahap berjaya menghantar anaknya sendiri belajar di Madinah.
Saya amat berharap yang suatu hari nanti, anaknya akan menjadi Imam yang pertama di Ireland Utara, dari kalangan anak tempatan sendiri. Impian ini dikongsi bersama dengan ibunya, Sister Rabiah, serta suaminya Sheikh Mehdi yang bertugas sebagai rakan sejawat saya di Bandar Craigavon, 25 km ke barat Belfast.
Ucapan Sister Rabiah itu benar-benar mencelikkan pemikiran saya. Jika suatu ketika dahulu, kaum wanita menjadi hamba kepada lelaki. Sama ada di dalam tamadun Arab Jahiliyah, mahu pun tamadun Hindu, Greek, Rome, malah seluruh tamadun Barat dan Timur, kesemuanya memandang rendah kepada wanita. Wanita boleh dikongsi dan dipindah milik sesuka hati, wanita dinafikan haknya untuk memiliki harta serta berniaga, malah ada wanita yang mesti dibakar hidup-hidup bersama suaminya yang meninggal dunia. Semua ini telah sedia ada di dalam pengetahuan kita.
Semua itu sudah dihapuskan dengan kedatangan Islam. Islam telah memberikan apa yang sepatutnya diberi kepada wanita, sebagai insan, yang bukan sebarang insan. Islam memuliakan ibu, merupakan seorang perempuan. Islam menyama ratakan nilai ketaatan lelaki dan wanita, tanpa berkurang walau sedikit pun. Wanita diberikan hak berniaga, memiliki harta, menegur pemimpin, keluar belajar dan mengajar serta pelbagai lagi keistimewaan yang hanya dapat dikecapi oleh tamadun bukan Islam selepas bermati-matian berjuang di atas peluh dan darah
Tradisi memperhambakan wanita sepatutnya sudah lenyap. Wanita bukan hamba. Mereka adalah khalifah Allah di bumi ini, yang nilai diri mereka terletak kepada sejauh mana mereka dapat melaksanakan tujuan Allah menciptakan mereka, bersama lelaki yang turut dinilai dari sudut yang sama. Lelaki dan wanita, ada peranan masing-masing, dan ia terlalu bersesuaian dengan acuan Allah di dalam penciptaan setiap mereka.
Lelaki yang dipertanggungjawabkan dengan pelbagai tugas, amanah dan tuntutan, diberi kecenderungan untuk dipengaruhi pertimbangan akal berbanding emosi. Manakala wanita yang dipertanggungjawabkan dengan pelbagai tugasan, sama ada di dalam keluarga mahu pun masyarakat, diberi kecenderungan untuk teguh dan tekun pada kekuatan emosi berbanding rasional akal. Kerana itu wanita mampu mengulang-ulang rutin yang sama (berapa kali seumur hidup wanita mengemas rumah yang tidak pernah berhenti semak), kerana emosi kasih dan sayang kepada keluarganya kuat, terlalu kuat berbanding lelaki, yang lebih suka melogikkan sesuatu.
Jika lelaki dan wanita saling memainkan peranan masing-masing, hak lelaki dan perempuan di dunia ini dengan sendirinya akan tertunai. Namun apabila masing-masing sibuk menuntut hak, runtuhlah kerukunan hidup kerana untuk menuntut hak, masing-masing hanya perlu menDESAK.
Wanita sudah sedia mulia?
Akan tetapi, kemuliaan wanita itu dirampas dari dunia hari ini, kerana manusia sendiri yang lari dan menjauhkan diri dari ketetapan Tuhan, Sumber kebaikan dan kemuliaan itu. Wanita sendiri yang mahu dirinya dinilai pada rupa paras yang diperagakan. Mereka mahu dinilai pada bentuk bulu mata, gaya rambut, rupa kaki, atau jenama pakaian yang semua itu bukan dirinya yang sebenar.
Akhirnya wanita terpaksa bekerja keras untuk ?dilihat tinggi?. Mereka perlu berbelanja besar, mereka menyeksa jiwa atas pilihan sendiri, semuanya kerana mahu kelihatan cantik di mata manusia yang memandangnya. Kerana mahu memuaskan hati semua orang, dialah satu-satunya ?orang? yang tidak berpuas hati dengan dirinya sendiri, sepanjang masa. Ketika orang lain ada pelbagai urusan hidup lain, dia menghabiskan masa dan jiwa pada memikirkan pandangan orang lain terhadap dirinya sendiri. Hidup dikelilingi ?tuhan? yang banyak memang mengundang derita.
Perempuan seperti ini mahu manusia melihat dan menilainya dengan pandangan hawa nafsu semata-mata. Sedangkan hawa nafsu manusia itu, kehendaknya seperti air laut, yang makin diteguk makin haus. Dia terlupa bahawa manusia tidak mungkin dapat dipuaskan, apatah lagi untuk memuji sebagai balasan. Alangkan Allah yang Maha Baik dan Maha Indah itu pun manusia ramai yang lupa serta tidak tahu memuji-Nya, apatah lagi manusia yang rabun jauh dan dekat ini. Rabun Akhirat, rabun Dunia!
Marilah wahai wanita yang berjiwa tinggi, muliakan dirimu dengan dirimu yang sebenar. Dirimu adalah akhlakmu, hikmahmu, kebijaksanaanmu, hati budimu, yang semua itu hasil dari imanmu. Didiklah manusia di sekitarmu agar menilai dirimu sama seperti Tuhan menilaimu. Lantas segala penampilanmu adalah mesejmu kepada manusia, bahawa keluhuran erti hidup ini, adalah pada melihat kehidupan, dari pandangan Pencipta kehidupan.
Keluarlah dari perhambaan itu. Jangan hambakan diri kepada manusia yang juga hamba sepertimu. Jadikan dirimu tinggi, selepas engkau tundukkan diri di hadapan Tuhan yang Maha Tinggi. Namun, untuk memerdekakan seorang hamba yang diperhambakan dengan cara ini, bukanlah semudah menyebutnya. Hamba abdi ini gembira diperhambakan, perhambaannya penuh keseronokan, biarpun ia mengikis harga diri dan nilai keinsanan. Tetapi, biar pun perhambaan akhir zaman ini glamour lagi mengasyikkan, hujungnya tetap derita penuh sesalan. Begin with the end in mind!
Be yourself, but be the best of yourself